Semantik
merupakan kajian makna istilah. Perkataan ini berasal daripada perkataan Greek “semantikos”
yang membawa maksud “erti yang penting”. Menurut Abdullah Hassan (1992:1),
sematik ialah istilah yang merukjuk kepada kajian makna. Oleh sebab itu, makna
adalah sebahagian daripada bahasa, maka sematik juga adalah sebahagian daripada
linguistik. Ullman (1972) pula menyatakan bahawa apabila seseorang memikirkan maksud
sesuatu perkataan, sekaligus memikirkan rujukannya atau sebaliknya. Hubungan
dua hala antara maksud dengan perkataan itulah yang menyebabkan lahirnya makna,
oleh yang demikian walaupun rujukan tetap, namun makna dan perkataan dapat
dibezakan.
Semantik
merupakan suatu bidang linguistik yang mengkaji perihal makna atau analisis
makna secara sinkronis dalam bahasa. Sesetengah ahli bahasa berpendapat bahawa
bidang semantik merupakan antara bidang linguistik yang paling sukar dipelajari
dan dikuasai. Hal ini sedemikian adalah disebabkan bidang semantik merupakan
suatu bidang kajian linguistik yang amat kompleks dan luas dari segi ruang
lingkup unit pengkajiannya. Dalam bidang semantik, konsep ‘makna’ boleh
diklasifikasikan lagi kepada beberapa kategori topik kajian yang berbeza-beza.
Misalnya, ‘makna logik’ merupakan salah satu unit kajian yang terdapat dalam
bidang semantik.
Teori
kajian semantik mempunyai empat cabang kesemuanya. Antaranya ialah Teori
Behaviorisme, Teori Analisis Komponen, Teori Imej dan Teori Logik Simbolik.
Teori-teori ini digunakan dalam mengkaji makna atau subskategori yang lain
dalam kajian tersebut. Dalam
menganalisis komponen makna, berdasarkan Teori Analisis Komponen, kita
perlu mengetahui konsep dan makna sebenar analisis komponen.